Pelajar bumiputera akan terus menerima faedah dan kelebihan dalam Bajet 2019 berikutan banyak peruntukan diberikan kepada mereka dari pelbagai segi.

Dalam pembentangan Bajet 2019 di Dewan Rakyat pada 2 November lepas, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata sebanyak RM3.8 bilion diperuntukkan bagi pembiayaan serta pinjaman pelajaran menerusi pelbagai agensi dan kementerian.

Daripada jumlah ini, sebanyak RM2 bilion diperuntukkan bagi pembiayaan atau pinjaman pelajaran kepada pelajar bumiputera di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Kerajaan juga akan memperuntukkan RM17.5 juta bagi tempoh 5 tahun kepada Malaysia Professional Accountancy Centre (MyPAC) yang bermatlamat untuk melahirkan 600 akauntan bumiputera bertauliah.

Ini adalah bertujuan untuk mencapai sasaran memiliki seramai 3,000 orang akauntan berdaftar dengan Malaysia Institute of Accountants, daripada 1,554 yang berdaftar sekarang.

Selain itu, bajet sebanyak RM210 juta juga diperuntukkan bagi memperkasa pendidikan serta program peningkatan modal insan bagi bumiputera.

Ini akan dilaksanakan melalui Program Peneraju Tunas, Program Skil dan Program Peneraju Profesional yang bakal diuruskan oleh Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera.

Click for ENGLISH