Kerajaan memperkenalkan tambahan insentif dalam Bajet 2019 bagi menjamin kelestarian Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, jadual pembayaran semula yang lebih progresif akan diperkenalkan berkadar antara 2% ke 15% daripada pendapatan bulanan peminjam, bergantung kepada taraf pendapatan mereka.

Walau bagaiamanapun, jadual ini akan hanya tertakluk kepada peminjam yang berpendapatan sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan.

Selain itu, pengecualian cukai juga akan diberikan kepada majikan yang membantu pekerjanya membayar balik pinjaman PTPTN bagi tempoh berakhir tahun 2019.

“Pengecualian cukai individu juga diberikan kepada semua simpanan yang dideposit ke dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional di bawah kelolaan PTPTN antara RM6,000 ke RM8,000”, katanya lagi.

Peminjam dari isi rumah B40 juga akan diberikan diskaun ke atas pinjaman mereka sekiranya mereka menamatkan pengajian dengan mencapai kepujian kelas satu.

“Kami juga akan memansuhkan pinjaman mereka yang berusia lebih 60 tahun dengan pendapatan kurang daripada RM4,000 sebulan. Ini melibatkan sehingga 350 peminjam, dan berjumlah kira-kira RM4.2 juta” katanya.

Click for ENGLISH