Kebiasaannya, orang yang berusia lebih separuh abad akan menghabiskan masa dengan berkebun mahupun bermain dengan anak cucunya.

Namun berbeza bagi Dr Ismail Haron yang berusia 72 tahun, dia sering menghabiskan masanya di dewan kuliah dan perpustakaan.

Dr Ismail mengaku dia merasa janggal mempunyai rakan universiti yang berusia separuh dari umurnya, namun demi minat dan cintanya yang mendalam terhadap ilmu mengatasi segalanya.

Semangat inilah yang merangsang datuk kepada 15 cucu ini untuk melengkapkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam ijazah kedoktoran dalam Falsafah Islam tahun lalu.

“Saya suka menuntut ilmu. Saya akan habiskan masa setiap hari untuk membaca dan belajar benda baru. Atas semangat itu saya melanjutkan pengajian,” kata Dr Ismail kepada HE Today dalam satu temu bual.

Keinginan untuk melanjutkan pelajaran mula tercetus di saat beliau mengikuti kelas bahasa Arab di sebuah masjid 12 tahun lalu.

“Ramai yang sertai kelas (bahasa Arab) pada mulanya, tetapi lama-kelamaan saya seorang sahaja pelajar yang tinggal,” kata Ismail yang telah mengambil peperiksaan Bahasa Arab dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hanya sekadar untuk suka-suka.

“Sejujurnya, saya tak menjangka yang saya akan boleh jawab dengan baik sewaktu peperiksaan.

Dr Ismail Haron bersama isterinya Meriam Hamid ketika menghadiri upacara konvokesyen di UIA.

“Saya malah meminta isteri saya untuk menunggu dalam kereta, semasa saya mengambil peperiksaan itu, kerana bimbang saya langsung tak boleh menjawab soalan. Tetapi sebaliknya, saya telah lulus bahasa Arab dengan gred C,” kata bapa beranak empat ini sambil ketawa.

Rentetan itu, Dr Ismail meneruskan usahanya mendalami bahasa Arab dengan mengikuti kelas bahasa Arab di UIAM pada waktu malam, dan kemudiannya beliau menyambung pula ke peringkat ijazah sarjana (Master), sehingga PhD.

Bagaimanapun, bukan mudah baginya untuk menjadi seorang pelajar PhD. Jika pelajar yang lebih muda daripadanya terpaksa berusaha berhempas-pulas, merasa keseorangan dan tertekan, apatah lagi bagi Dr Ismail.

Tambahan lagi, ada pelajar yang menarik diri daripada meneruskan pengajian selepas tertekan dan berputus asa. Keadaan itu hampir berlaku pada Dr Ismail yang mengambil masa lima tahun untuk menggenggam ijazah PhDnya. Namun, beliau enggan menyerah kalah.

Dr Ismail yang menetap di Beranang mengambil masa dua jam untuk menghadiri kuliahnya di Gombak semasa menjadi pelajar. 

“Perjalanan itu sangat memenatkan dan hampir setiap hari saya memandu ke kuliah,” katanya.

Lebih memeritkan, beliau terpaksa mengambil cuti belajar selama setahun kerana keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan.

Namun menurutnya, kini PhD sudah berada dalam genggamannya berkat sokongan daripada penyelia, pensyarah dan keluarganya yang memahami dan sentiasa membantu dirinya untuk menamatkan pengajian.

Tegasnya lagi, perjalanannya dalam menimba ilmu belum terhenti kerana ada hasrat yang masih belum dicapai.

“Saya masih belum selesai. Saya berhajat untuk menyambung pelajaran ke peringkat pasca doktoral di masa hadapan.

“Kita harus tanamkan rasa cinta untuk menambahkan pengetahuan dalam diri. Apabila terbit rasa cinta itu, pasti kita tidak akan berhenti untuk mencari ilmu,” katanya lagi.