Malaysia adalah tanah air dan tanah tumpahnya darah kita semua. Namun, tidak ramai yang mengetahui ada sesetengah pelajar antarabangsa turut menganggap negara ini ibarat tempat kediaman mereka.

Bagi Salman Ahmed Hashimi, pelajar dari Pakistan, Malaysia memang sangat istimewa dan terasa dekat dengan hatinya.

“Malaysia bukan saja tempat untuk saya mencari ilmu, malah saya telah mendapat keluarga saya di sini,” kata pemuda berusia 25 tahun itu.

Selepas menyertai program Serumpun Sejagat yang dianjurkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Salman mendapati keserasian antara dirinya dengan negara ini menjadi lebih kuat ketika berada di Kampung Kubang Depu, Besut, Terengganu.

Salman juga tidak merasa janggal apabila memanggil ibu bapa angkatnya dengan panggilan ‘Mama’ dan ‘Daddy’.

“Mama dan Daddy membawa kami ke kolam air panas di Besut yang mempunyai pemandangan yang sangat menakjubkan, lebih-lebih lagi dengan hari yang sedang hujan ketika itu.

“Kami dapat merasakan kesejukan air hujan yang turun semasa mandi dalam kolam yang hangat itu,” kata pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PHD) jurusan kejuruteraan dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL) itu kepada HE Today.

Salman yang berada jauh dari kampung halamannya, berasa sangat tersentuh apabila dihidangkan juadah yang disediakan oleh ibu angkatnya.

“Itu adalah kali pertama saya makan masakan ‘ikan tiga rasa’ yang dibuat dengan penuh kasih sayang oleh Mama,” katanya.

Walaupun sekarang mereka sudah berjauhan, Salman dan keluarga angkatnya masih berhubung dan sentiasa berbual melalui aplikasi Whatsapp.

“Kami merancang untuk mengadakan pertemuan semula tidak lama lagi, dan saya pasti balik ke Kampung Kubang Depu untuk menziarahi mereka,” katanya.

Hidangan tempatan pastinya menjadi salah satu tarikan utama program ini. Jika Salman mengemari ikan masak tiga rasa, Distie Alexandra pula tidak dapat melupakan kelazatan hidangan tradisional negeri pantai timur itu, iaitu Nasi Kerabu.

“Saya amat sukakan Nasi Kerabu. Ia sangat sedap, “kata pelajar berusia 19 tahun itu.

Bagi Distie, program itu menyediakan peluang kepada pelajar antarabangsa untuk mempelajari budaya Malaysia dan merasai sendiri layanan dan keramahan orang Malaysia.

“Saya sangat teruja berkenalan dengan ramai orang dari pelbagai negara dan universiti.

“Jika dahulu, saya pernah merasa keseorangan di sini, tetapi kini saya boleh mengatakan dengan bangga bahawa saya ada beratus-ratus saudara dari seluruh negara. Kami adalah satu keluarga yang besar sekarang,”katanya.

Selain dapat merasakan Malaysia sebagai rumah keduanya, Distie berkata program tersebut turut memberi peluang kepada dirinya untuk berkongsi budaya masing-masing dan memberikan gambaran baik kepada rakyat Malaysia.

“Ibu dan bapa angkat saya sangat penyayang dan saya sangat merindui mereka,” kata pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Korporat dari Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (IUKL) itu.

Seramai 134 pelajar antarabangsa dari 39 negara yang menuntut di universiti awam dan swasta menyertai program Serumpun Sejagat. Ia berlangsung selama 3 hari di Kampung Kubang Depu, Besut, Terengganu.

Program ini yang dianjurkan oleh Universiti Kuala Lumpur bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), memberi peluang kepada pelajar antarabangsa tinggal bersama keluarga angkat, untuk merasai sendiri kekayaan budaya di Malaysia dan mengenali masyarakat tempatan.