Berdasarkan peningkatan Universiti Malaya (UM) dalam QS World University Rankings selama lima tahun berturut-turut, UM diramalkan akan memecahkan rekodnya untuk menduduki tempat 100 terbaik menjelang 2020. 

UM menduduki tempat ke-114 menurut penyenaraian terbaru QS World University Rankings, peningkatan sebanyak 53 anak tangga, dari tempat ke-167 sejak 2013.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, peningkatan yang memberangsangkan ini, menunjukkan usaha dan perlaksanaan dalam memastikan kualiti pendidikan tinggi negara menunjukkan keberhasilan, serta mencerminkan keberkesanannya.

“Malaysia menuju ke arah untuk menjadi hub pendidikan tinggi, sesuai dengan Lonjakan 8: Keungggulan Global dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi). Pencapaian ini menunjukkan keberkesanan perancangan yang telah kita laksanakan sejak bertahun-tahun sebelum ini. Kita ingin memastikan institusi di Malaysia mampu menyediakan kualiti pendidikan tinggi setaraf dunia.

“Kita percaya pencapaian ini boleh dijadikan sebagai batu aras oleh pelajar asing untuk memilih Malaysia sebagai destinasi pilihan mereka untuk belajar,” kata Idris.

Universiti tertua dan terulung di Malaysia ini, telah menduduki kedudukan lebih tinggi mengatasi Royal Melbourne Institute of Technology (RMIT) di Australia dan Georgetown University di Amerika Syarikat.

Naib Canselor UM, Datuk Ir. (Dr.) Abdul Rahim Hashim mengatakan, peningkatan UM dalam senarai kedudukan tersebut menunjukkan keberkesan perancangan strategik oleh universiti, ketika ditemu bual oleh HE Today.

Tambahnya lagi, UM akan terus mengorak langkah untuk lebih dikenali sebagai universiti yang cemerlang dari segi pengajaran, kajian, penerbitan, dan inovasinya.

Tonggak kekuatan UM dalam memperolehi pencapaian ini datang dari pengalaman, kebolehan, serta tenaga pengajar dan penyelidik yang berkelas dunia.

QS World University Rankings adalah satu penyenaraian tahunan yang menampilkan universiti-universiti terbaik di dunia.

Click here for ENGLISH