UiTM FC selepas perlawanan menentang JDT II, Liga Premier 2018 di Pasir Gudang, Johor. Gambar ihsan UiTM FC Official.

Sukan dan pencapaian dalam akademik bukanlah sesuatu yang janggal, tetapi sememangnya satu gabungan yang unik.

Kebanyakan orang memang maklum bahawa komitmen dalam sukan secara profesional adalah sangat tinggi. Ia akan memberi cabaran kepada seseorang untuk berjaya dalam sukan dan cemerlang dalam akademik secara serentak.

Berikutan perkara inilah, Universiti Teknologi MARA Football Club (UiTM FC) cuba menerapkan sesuatu pembangunan dalam dunia sukan.

Dengan membawa motto ‘The Thinking Footballer’ dan ‘Football with Brain’, UiTM FC atau lebih dikenali dengan nama The Lion Troops, bukan satu pasukan yang asing dalam dunia bola sepak Malaysia.

Dimulakan pada tahun 2008, UiTM FC adalah kelab bola sepak yang bernaung di bawah Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Bukan pasukan bola sepak yang biasa

Walaupun sebagai pasukan pasukan bola sepak universiti, UiTM FC mempunyai reputasi yang tinggi dan tersendiri.

Pada 2017, UiTM FC telah melakar sejarah apabila menjadi satu-satunya universiti yang layak ke peringkat Piala Malaysia, bersaing dengan nama-nama besar seperti Johor Darul Takzim (JDT) dan Kedah FA.

Bukan itu sahaja, UiTM FC juga menjadi yang pertama dalam kalangannya untuk layak ke Liga Premier Malaysia selama 6 kali berturut-turut sejak tahun 2013.

Mencapai ke tahap seperti ini bukanlah suatu yang harus dipandang enteng, apatah lagi bagi sebuah pasukan universiti.

Tambahan lagi, sudah memang menjadi sasaran bagi UiTM untuk tidak hanya menjadi pasukan bola sepak picisan sahaja.

Pemain bola sepak cemerlang akademik

Jurulatih pasukan ini, Wan Mustaffa Wan Ismail berkata UiTM FC mensasarkan untuk mempromosi dan menghasilkan atlet yang bukan hanya berkebolehan dalam sukan, tapi juga berprestasi dalam pembelajaran mereka dalam akademik.

Ketua Jurulatih UiTM FC Wan Mustaffa Wan Ismail. Gambar ihsan UiTM FC Official.

Berikutan perkara ini, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah mengiktiraf UiTM sebagai pusat latihan bola sepak hasil kerjasama UiTM, KPT dengan Akademi Bola Sepak Negara FAM.

“Tugas kami di akademi ini adalah untuk melatih dan melahirkan pemain bola sepak yang cemerlang akademik, menyediakan barisan pemain tempatan untuk kelab-kelab profesional dan juga untuk pasukan negara.

“Dan sebenarnya, salah seorang bekas pemain kami, Muhamad Adib Zainudin, sudah menjadi kapten bagi pasukan kebangsaan U-23 (bawah 23 tahun) yang meraih pingat perak di Sukan SEA 2017 baru-baru ini,” kata Wan Mustaffa dalam pertemuan bersama HE Today.

Hampir kesemua pemain UiTM FC masih berstatus pelajar dalam peringkat diploma, ijazah sarjana muda, atau sarjana di UiTM kecuali empat pemain importnya dari Jepun, Ivory Coast, dan Argentina.

“Satu daripada cabaran yang kami hadapi ialah, kami hanya dibenarkan mengambil pemain dari kalangan pelajar UiTM berbanding pasukan profesional lain yang bebas mengimport pemain yang mereka mahu.

“Walau bagaimanapun, kami juga ada mengambil pemain di peringkat sekolah dengan syarat mereka menepati keperluan minimum dalam akademik yang ditetapkan UiTM. Mereka akan ditawarkan untuk belajar di sini dan kemudian diserap menjadi pemain dalam pasukan kami,” tambahnya lagi.

Seimbangkan antara akademik dengan karier bola sepak profesional

Menyeimbangkan antara karier bola sepak dengan pencapaian dalam akademik adalah satu tugas yang sangat mencabar.

Seperti pelajar universiti lain, jadual mereka memang padat dengan kuliah, tugasan, dan peperiksaan.

Selain itu, mereka perlu menjalani sesi latihan di padang, termasuk latihan fizikal di gym setiap hari.

Kapten pasukan UiTM FC, Muhammad Afif Asyraf Mohamad Zabawi. Gambar ihsan UiTM FC Official.

Kapten pasukan itu, Muhammad Afif Asyraf Mohamad Zabawi, 27, berkata, ia memang suatu cabaran dari segi pengurusan masa dalam kedua-dua aspek ini kerana komitmen mereka terhadap pasukan adalah sangat tinggi.

“Ada hari yang kami harus menjalani latihan pada waktu pagi dan petang, dan mempunyai kuliah di antaranya.

“Ia memang sangat memenatkan, tapi walau apa pun kami harus menyesuaikan diri kerana ini sudah menjadi pilihan kami sendiri.

Afif yang sedang mengikuti sijil dalam kursus Pengurusan Bola Sepak selepas menamatkan Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan di UiTM juga berkata, pihak pengurusan pasukan sangat tegas berkenaan kehadiran mereka dalam kuliah pembelajaran.

“Jika ada antara kami yang didapati ponteng kelas atau kuliah, tindakan disiplin akan diambil oleh pihak pengurusan pasukan,” tambah Afif.

Menjalinkan ilmu sains dan akademik ke dalam bola sepak

Salah satu faktor unik yang menyumbang kepada kejayaan UiTM FC dalam bola sepak adalah, mereka mengumpulkan kebolehan dan pengetahuan yang dimiliki oleh staff-staff UiTM dari pelbagai fakulti.

Pasukan sokongan ini diketuai oleh Dr Raja Mohammed Firhad Raja Azidin, timbalan dekan dari Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi.

“Kami mempunyai penglibatan pelbagai kepakaran dari UiTM yang terdiri daripada pensyarah-pensyarah dari Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi dan juga dari Fakulti Perubatan.

“Tugas mereka ini adalah untuk menggunakan sains dan penyelidikan ke arah pembangunan dalam sukan.

“Terdapat banyak unit yang terlibat dalam aspek ini antaranya dalam fisiologi sukan, biomekanik sukan, analisis prestasi, diet dan pemakanan, dan termasuk aspek akademik,” katanya lagi.

Pasukan sokongan ini memberi kelebihan yang baik kepada UiTM FC walaupun mereka tidak medapat kelebihan untuk mengimport pemain berpengalaman dan mendapat latihan di luar negara.

“Kami menerapkan ilmu saintifik ke dalam setiap aspek, setiap sesi latihan akan dikaji dan diambil data supaya kami dapat menganalisa setiap perlawanan dan prestasi pemain.

“Memantau kesihatan fizikal pemain adalah bahagian tugas saya. Saya akan mereka program kecergasan yang sesuai untuk setiap pemain yang bertujuan untuk meningkatkan prestasi mereka ke tahap paling optimum,” tambahnya.

UiTM FC, mempunyai matlamat untuk menduduki dua tempat teratas dalam carta bagi melayakkan pasukan mereka ke Liga Super 2019 serta Piala Malaysia.

“Sokongan berterusan serta penajaan dari pihak KPT dan UiTM diharapkan dapat membantu mereka untuk mencapai sasaran untuk menjadi salah satu pasukan bola sepak yang hebat di negara ini,” kata Wan Mustaffa.

CLICK FOR ENGLISH