MyE-Portfolio: Pelajar UIAM terima dua tawaran kerja sebelum tamat pengajian

Ledakan teknologi masa kini membuka peluang buat graduan memohon pekerjaan dengan cara lebih santai dan segar.

Dalam persaingan yang tinggi untuk merebut peluang pekerjaan yang ditawarkan, graduan kini perlu mencari nilai tambah yang mampu menarik perhatian majikan yang semakin memilih calon berkelayakan ketika ini.

Solihah Charawae, 21, menggunakan portal MyE-Portfolio untuk mempromosi dirinya kepada majikan melalui video. Gambar ehsan Solihah Charawae

Ruang itu digunakan sebaiknya oleh pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Solihah Charawae, 21, menggunakan portal MyE-Portfolio untuk mempromosi dirinya kepada majikan melalui video.

Solihah berkata, beliau tidak menyangka rakaman video resume yang dimuat naik di laman Facebook turut mendapat perhatian majikan di negara asalnya Thailand.

“Saya tidak sangka video yang dimuat naik di laman Facebook mendapat hampir 13,000 tontonan setakat ini sejak dimuat naik pada 29 Oktober lalu. Laman Facebook kendalian saya itu mendapat perhatian di luar jangkaan saya apabila dua majikan yang salah satunya pihak sekolah lama saya, Darussalam Islamic School di Narathiwat menawarkan pekerjaan sebagai guru Bahasa Inggeris apabila saya tamat pengajian kelak,” katanya ketika ditemui di UIAM di sini, baru-baru ini.

Solihah merupakan pelajar tahun akhir yang mengambil pengkhususan Teaching English As A Second Language (TESL) di Kulliyyah Pendidikan.

Katanya, video berkenaan pada asalnya merupakan latihan khusus untuk subjek Instructional Technology yang memerlukan pelajar tahun akhir menghasilkan sebuah video pendek berkonsepkan resume untuk pasaran kerja selepas tamat pengajian.

MyE-Portfolio ialah satu resume digital yang menilai kemahiran dan kebolehan melalui refleksi, pengalaman dan hasil pembelajaran pelajar, ilham oleh Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh

“Kami diminta untuk membuat satu video ringkas berdurasi sekitar satu minit untuk profil memohon kerja sebagai fokus utama dengan menyenaraikan kelebihan dan kemahiran yang ada untuk menarik minat majikan menawarkan kerja,” katanya.
Solihah menjadikan video rakan senior lain yang telah membuat video seperti itu sebagai panduan, tetapi menukar pendekatan dengan menjadikan ia lebih santai dan tidak terlalu formal.

Solihah Charawae ketika ditemuramah HE Today baru-baru ini. Photo MOHE Editorial

“Saya lihat video seperti itu yang ada di laman sosial sebelum ini terlalu formal kerana disasar kepada audiens korporat, tetapi bagi saya sasaran itu sebenarnya lebih kepada mereka yang lebih santai seperti sekolah yang mahukan guru yang kreatif dan mempunyai keberkesanan untuk mengajar,” katanya.

Anak bongsu daripada tujuh adik-beradik itu berkata, beliau mengambil masa satu hari untuk merakam video itu dengan bantuan rakan lain di sekitar kampus menggunakan kamera DSLR.

“Pendekatan menggunakan video merupakan dimensi baru dalam dunia masa kini yang memerlukan pendekatan yang lebih kompetitif di pasaran kerja selepas tamat belajar.

Seperti filem, ia ibarat ‘teaser’ diri anda. Apabila majikan melihatnya, mereka tertarik untuk mengetahui lebih lanjut tentang diri anda sekaligus menjadi bonus untuk anda mengisi jawatan itu,” katanya.

Ditanya adakah Solihah akan menerima tawaran itu, beliau berkata buat masa ini ia masih dipertimbangkan kerana beliau berazam ingin menabur bakti di tanah airnya khususnya dalam mengajar Bahasa Inggeris.

“Saya juga bercadang untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, saya gembira dan terkejut menerima tawaran itu dan akan memberikan keputusan setelah menamatkan pengajian di UIAM pada tahun depan.

Saya turut menyarankan semua graduan untuk menggunakan sepenuhnya peluang yang disediakan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia melalui portal MyE-Portfolio supaya selepas kita tamat belajar, majikan sudah mempunyai calon yang bekelayakan dan sesuai untuk diambil bekerja,” katanya mengakhiri perbualan.

Buat masa ini lima buah Universiti Awam (UA) iaitu UPM, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjadi perintis dalam membangunkan MyE-Portfolio dan ia diharap supaya dapat dimanfaatkan oleh semua mahasiswa sebelum mereka tamat pengajian.

Portal berkenaan bakal memberi manfaat kepada industri serta majikan kerana ia mempamerkan ciri yang berdasarkan kepada kebolehan pelajar.

CLICK FOR English

BERITA BERKAITANMyE-Portfolio sells graduates to industry