Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh semasa proses perasmian Kolej Komuniti Cawangan Tanah Merah – Photo MOHE Editorial

Pembukaan Kolej Komuniti ke-94 di Tanah Merah, Kelantan membuka lembaran baru bagi arus pendidikan di negeri pantai timur itu. Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh meletakkan harapan dan cabarannya semasa hadir merasmikannya.

Penubuhan kolej itu di sini bermula dari cadangan yang diusulkan oleh ahli parlimen kawasan itu, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz sejak 2014 lagi. Setelah melalui fasa kerjasama dan usaha beberapa pihak, akhirnya Kolej Komuniti Tanah Merah telah dibuka secara rasmi sekali gus menjadi Kolej Komuniti keempat di negeri itu.

Beliau melahirkan rasa bangga dan penghargaan di atas kejayaan pembukaan kolej itu. “Saya berasa amat besar hati dan berterima kasih kepada semua pihak yang terbabit meluluskan dan berusaha dalam proses mendapatkannya,” katanya.

Idris memberi cabaran kepada pelajar di situ untuk melihat potensi mereka ke arah global.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh bersama pegawai dan kakitangan semasa proses perasmian Kolej Komuniti Cawangan Tanah Merah – Photo MOHE Editorial

“Saya mahu melihat produk keluaran Kolej Komuniti seperti kuih tradisional kita dijual di luar negara, ini boleh dicapai dan bukan mustahil,” katanya.

Menteri Pendidikan Tinggi itu mempunyai kepercayaan ke atas kebolehpasaran pelajar Kolej Komuniti, bukan sahaja di Tanah Merah malah seluruh negara.

“Potensi kita untuk menembusi pasaran antarabangsa bukan sekadar dalam produk makanan, tapi banyak lagi bidang lain kerana kita mempunyai 94 institusi ini di seluruh negara yang menawarkan banyak kursus kemahiran lain,” tambahnya lagi.

Beliau turut menyatakan bahawa harapan dan cabaran ini boleh dicapai dengan strategi dan perancangan yang teliti. Menurutnya, dengan peningkatan dan naik taraf dari segi teknologi, teknik pemasaran, dan sistem sokongan dari pihak kementerian, sasaran ini boleh dicapai.

Keistimewaan yang ada pada Kolej Komuniti cawangan ini ialah mereka menawarkan kursus pastri sepenuh masa. Selain itu, kolej ini menyediakan pelbagai kursus jangka pendek di bawah program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) dan Pembelajaran Islam Sepanjang Hayat (PISH) yang sesuai untuk masyarakat setempat.

“Di Kolej Komuniti cawangan Tanah Merah ini, kursus diberi penekanan ialah kursus pastri. Jadi, saya harap pelajar dapat memanfaatkannya sesuai dengan harapan saya untuk kita menembusi pasaran dunia,” kata Idris.