BESUT: Rumah Komuniti ke-152 yang dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi sendiri di Kampung Sentosa, Besut Terengganu. Kunci rumah itu diserahkan oleh Datuk Seri Idris Jusoh kepada penerimanya Mansor Salleh, 39. Beliau menganggap penerimaan kunci rumah itu sebagai pembuka kepada harapan untuknya sekeluarga.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh bergambar bersama keluarga yang menerima kunci Rumah Komuniti ke-152. Gambar MOHE Editorial

Mansor yang bekerja sebagai buruh telah menyatakan kelegaannya yang selama ini menghadapi kesukaran menyara tiga anaknya dan isteri. Peningkatan kos sara hidup dengan ekonomi masa kini dapat diurus dengan lebih baik dengan memiliki tempat tinggal sendiri berbanding rumah yang disewa sebelum ini.

“Saya amat bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada Datuk Seri Idris Jusoh. Jika tiada inisiatif sebegini, mungkin nasib kami masih sama lagi seperti dulu malah mungkin teruk lagi kerana anak-anak semakin dewasa, perbelanjaan pun semakin meningkat,” luah Mansor ketika ditanya perasaan beliau dalam temu bual bersama HE Today.

Rumah yang lengkap dengan perabot ini merupakan sumbangan dari Parlimen Besut dan sudah membantu 152 keluarga setakat ini. Pembinaan rumah ini turut mewujudkan penglibatan dari Kolej Komuniti dan Politeknik. Sekali gus dapat memberi pengalaman latihan dan pembelajaran selain daripada tujuan bantuan kepada keluarga miskin.

Penglibatan kedua-dua agensi pendidikan tersebut adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar dalam bidang berkaitan kepada latihan lapangan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh menyerahkan kunci Rumah Komuniti ke-152 kepada Mansor Saleh. Gambar MOHE Editorial

Unit yang diserahkan ini dibuat dalam satu majlis ringkas dengan paluan gendang dan nyanyian mengikut tradisi rakyat tempatan Besut. Datuk Seri Idris Jusoh kemudiannya melawat sendiri isi rumah itu selepas menyerahkan kunci.

Rumah yang diserahkan kepada Mansor ini lengkap dengan perabot ruang tamu dan bilik tidur sesuai untuk didiami mereka lima sekeluarga. Selain sofa di ruang tamu, katil dan tilam juga disediakan di setiap bilik tidur rumah itu.

“Pembuatan rumah ini sudah mencapai keberkesanan yang pantas, ada yang boleh disiapkan dalam masa sesingkat 2 ke 3 minggu sahaja. Ini amat membanggakan kerana reka bentuk pembinaan bukan terhad kepada satu yang standard, tetapi berbeza mengikut kesesuaian dan keperluan,” kata Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau turut menyatakan unit rumah komuniti yang akan siap dan diserahkan akan mencapai unit ke-200 menjelang penghujung Disember 2017.

[Klik untuk English]