SEKTOR pendidikan tinggi yang telah melalui proses pembangunan dan kemajuan yang sangat positif kini menerima suntikan yang amat memberangsangkan.

Pengiktirafan universiti-universiti penyelidikan Malaysia di mata dunia baru-baru ini telah membungakan semangat di kalangan penyelidik dan cendekiawan negara untuk terus membangunkan penyelidikan yang lebih baik dan berhasil.

Gambar fail.

Hal ini berpotensi untuk menjadi lebih cemerlang dan positif dengan pengumuman bajet 2018 yang mengekhaskan RM 2.2 bilion sebagai pemberian biasiswa kepada Jabatan Perkhidmatan Awam,, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Kesihatan.

Bajet ini diumumkan Perdana Menteri di pembentangan bajet di Parlimen Malaysia. Jumlah yang disediakan ini termasuk dalam jumlah besar peruntukan biasiswa kerajaan yang berjumlah RM44 bilion sejak 2009.

Fariszul Hakim Mohd Suffian.

Ini membuka harapan yang cerah kepada graduan dan bakal graduan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Fariszul Hakim Mohd Suffian, 25, gembira dengan pengumuman ini berkata: “Saya menganggap perkara ini sebagai peluang keemasan dan sangat ditunggu-tunggu. Sekarang saya boleh merancang masa depan saya”. Graduan Kejuruteraan Aeronautik dari Universiti Teknologi Malaysia itu menghadapi kesukaran mendapat pekerjaan dan hanya bekerja sebagai penghantar barang secara sambilan.

Noorliyana Noor Hisham.

Ini pasti dapat menyokong usaha untuk terus meningkatkan kedudukan universiti-universiti awam di Malaysia yang sedia ada baik. Secara khususnya, usaha Kementerian Pendidikan Tinggi yang memperkenalkan Soaring Upwards akan terus bertambah positif.

Dengan peruntukan biasiswa di bawah tiga badan utama ini, sektor pendidikan tinggi negara akan mendokong lebih potensi dan peluang untuk melaksanakan program-program pembangunan pendidikan tinggi ke aras yang lebih lestari.

Pengumuman ini menunjukkan Perdana Menteri menyokong dan mempunyai galakan positif dalam memartabatkan pendidikan tinggi Malaysia. Industri pendidikan kini bukan sahaja mempunyai reputasi yang semakin meningkat, malah berpotensi untuk lebih berkecapaian tinggi.

“Saya pernah memulakan pengajian saya di peringkat sarjana, namun terpaksa saya hentikan akibat kekangan kewangan. Sekarang bolehlah saya bermula lagi dengan lega, industri sekarang pun mempunyai persaingan tinggi dari segi kelayakan akademik,” kata lepasan ijazah sarjana muda dari Universiti Teknologi Mara, Noorliyana Noor Hisham, 29.

Beliau berpendapat peruntukan ini sangat membantu pelajar yang mempunyai tanggungan keluarga untuk menyambung pengajian seperti dirinya.

Sementara itu, bagi menggalakkan lepasan TVET melanjutkan pengajian, kerajaan turut menyediakan seratus Biasiswa Pelajar Cemerlang TVET dengan peruntukan 4.5 juta ringgit.