KUALA LUMPUR: Senarai QS University Rankings: Asia 2018 meletakkan lima universiti dari Malaysia sebagai antara 50 universiti yang terbaik di Asia.

Kelima-lima universiti tersebut adalah universiti penyelidikan negara, antaranya Universiti Malaya (UM) yang mendapat kedudukan terbaik pada tangga ke-24 pada tahun ini dengan menaiki tiga anak tangga berbanding sebelumnya.

QS University Rankings: Asia 2018 meletakkan lima universiti dari Malaysia sebagai antara 50 universiti yang terbaik di Asia.

Universiti Putra Malaysia (UPM) pula menaiki 13 anak tangga dengan kedudukan ke-36 yang menunjukkan pencapaian memberangsangkan manakala Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada kedudukan ke-43 berbanding tempat ke-55 sebelum ini.

Laman sesawang rasmi www.topuniversities.com telah mengeluarkan maklumat mengenai kedudukan univeristi-universiti ini termasuk semua universiti terbaik di Asia.

Universiti Sains Malaysia (USM) yang terkeluar daripada 50 universiti terbaik Asia pada tahun sebelum ini telah meningkat kepada kedudukan ke-46 kali ini. Begitu juga dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang memasuki senarai daripada kedudukan ke-49 dengan menaiki 14 anak tangga daripada kedudukan ke-63.

Kedudukan semua universiti di Asia melibatkan 425 universiti utama daripada 17 negara Asia. Penilaian yang dibuat dalam QS University Rankings mengambil kira 10 kriteria penting. Antaranya ialah reputasi akademik, majikan, nisbah pelajar kepada fakulti, penerbitan hasil kajian setiap fakulti, sitasi penerbitan, nisbah fakulti antarabangsa, bilangan staf yang memiliki ijazah doktor falsafah (PhD), nisbah pelajar antarabangsa, pertukaran pelajar masuk dan pertukaran pelajar.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dalam kenyataannya menyebut perlaksanaan yang bermula sejak beberapa tahun lalu bagi meningkatkan kualiti pendidikan negara telah menampakkan momentum dan hasilnya. Beliau juga mengucapkan penghargaan dan tahniah kepada semua universiti terlibat.

Beliau juga yakin senarai kedudukan itu akan menjadi batu aras terbaik bagi pelajar dari luar untuk melanjutkan pelajaran di universiti-universiti awam di Malaysia.

“Mewakili seluruh Kementerian Pendidikan Tinggi, saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada semua pihak yang meltakkan usaha gigih bagi menaikkan kedudukan universiti negara kita di persada antarabangsa”.

Pengarah Komunikasi QS Quacquarelli Symonds, Simona Bizzozero, turut melahirkan rasa bangga kerana Nanyang Technology University (NTU) dari Singapura menduduki tempat teratas dalam senarai kedudukan kali ini. Sebelum ini, tempat pertama itu diungguli oleh National University of Singapore (NUS) yang menduduki tempat kedua pada kali ini.

Sementara itu Hong Kong University of Science and Technology (HKUST) bertukar dari tempat keempat kepada kedudukan ketiga tahun ini, manakala Korea Advanced Institute of Science and Technology (KAIST) melonjak dua anak tangga daripada kedudukan keenam.

Hong Kong menjuarai negara yang paling banyak tersenarai dalam 10 universiti terbaik, dengan mempunyai empat universiti di antaranya. Fudan University di China pula menjadi universiti baharu yang tersenarai dalam 10 terbaik apabila memperbaiki kedudukan daripada 11 kepada tangga ketujuh tahun ini.